Awal tahun 90-an poskad masih lagi diminati. Ketika itu poskad masih relevan sebagai kad pengganti diri. Teringat ketika semasa menuntut di menara gading, sahabat-sahabat saya pernah berutus poskad kepada saya.
Walaupun isi poskad itu sangat ringkas hanya bertanya khabar sahaja tetapi sangat bermakna. Bermakna jika kita sedang bersendirian. Pasti kita akan membelek kembali poskad tersebut. Fikiran kita terus menayangkan kembali 'filem-filem' indah ketika bersama-sama dengan sahabat-sahabat.
Kini, poskad sudah dilupakan. Walaupun poskad masih lagi dicetak tetapi hanya sekadar bahan tatapan dan simpanan sahaja. Peranannya terus dipadamkan. Seolah-olah poskad ini hanya sekadar hiasan di kedai-kedai buku sahaja.
Perhatikan nilai seni pada gambar poskad tersebut. Nilaian itu tidak ternilai harganya. Di balik gambar itu ramai insan yang mendambakan diri untuk mencari sudut foto yang menawan. Mereka menterjemahkan nilaian foto itu kepada kepingan poskad. Maka poskad-poskad itu dihasilkan dengan nilaian yang indah.
Poskad sudah hilang peranan sekarang. Ayuh kita kembalikan peranan poskad dari arah yang berbeza. Kita jadikan poskad sebagai nilaian indah kepada pasangan suami isteri yang baru pulang daripada berbulan madu. Sang suami boleh coretkan bait-bait indah semasa berbulan madu kepada sang isteri. Sang isteri juga boleh membalas kembali lirik-lirik bermadah kepada sang suami. Romantisnya pasangan itu.
Mungkin juga ketika berlakunya perselisihan antara suami isteri, sang suami boleh meletakkan poskad yang bertulis kemaafan dan mempunyai gambar-gambar memori indah yang pernah dicipta bersama. Gambar di poskad itu pasti menerawang di fikiran sang isteri. Pasti sang isteri merindui memori tersebut.
Bertindaklah sekarang !
No comments:
Post a Comment